Kita bukan parti politik walaupun politik yang berlandaskan Islam adalah teras gagasan kita…
Kita bukan pertubuhan kebajikan walaupun amal kebajikan adalah objektif utama kita…
Kita bukan pasukan sukan walaupun senaman badan dan rohani menjadi antara kaedah terpenting kita…
Kita tidak sama seperti pertubuhan sedemikian kerana semua pertubuhan ini hanya untuk tujuan tertentu, untuk tempoh tertentu. Mungkin pertubuhan ini lahir hanya atas dasar mahu mewujudkan sebuah pertubuhan atau sekadar mahu meletakkan nama rasmi bagi pertubuhan tersebut. Namun kami adalah satu fahaman dan satu akidah, satu sistem dan satu manhaj. Kami tidak terbatas pada tempat tertentu atau bangsa tertentu atau sempadan geografi tertentu. Kami tidak akan terhenti pada batas tertentu kecuali setelah bumi dan segala isinya kembali kepada Allah kerana system ini adalah sistem tuhan sekalian alam dan manhaj rasul-Nya al-amin.
Kami (tanpa membanggakan diri) adalah seperti para sahabat Rasulullah s.a.w. dan pendokong panji baginda selepas ketiadaan baginda. Kami adalah penegak panji baginda sepertimana para sahabat baginda menegakkannya. Kami adalah pengibar panji baginda sepertimana para sahabat baginda mengibarkannya. Kami adalah penjaga al-Quran sepertimana para sahabat menjaganya. Kami mengembangkan dakwah baginda sepertimana para sahabat mengembangkannya. Kami adalah rahmat yang Allah turunkan untuk sekalian alam. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kebenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi. (Sad: 88)
Inilah status kamu. Janganlah kamu perkecilkan diri kamu menyebabkan kamu merasakan kamu sama seperti orang lain atau kamu menyampaikan dakwah kamu menggunakan cara yang tidak bertepatan dengan kedudukan kamu sebagai orang-orang yang beriman. Ataupun kamu menyamakan dakwah kamu yang berbekalkan nur Ilahi dan bersumberkan sunnah Rasulullah s.a.w. dengan dakyah lain yang hanya lahir kerana kepentingan tertentu kemudian hilang di telan zaman.
Kamu telah berdakwah dan berjihad. Kamu telah saksikan sendiri bagaimana dengan hasil usaha yang agung ini lahirlah suara-suara yang meminta kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan penguasaan sistem al-Quran. Lahir rasa perlunya mereka bangkit berusaha, membulatkan tekad untuk Allah. Darah pemuda yang suci mengalir demi kerana Allah semata-semata; kerana mahukan kedudukan syahid di jalan Allah. Ini adalah suatu kejayaan yang jauh daripada apa yang kamu jangkakan. Oleh itu teruskan usaha kamu. Beramallah dan Allah akan bersama kamu. Allah tidak akan mensia-siakan amalan kamu.
Sesiapa yang bersama kita hari ini akan beroleh kelebihan berada di tempat awal. Sementara mereka yang ikhlas tetapi masih belum bersama kita, pasti esok akan bersama kita. Siapa yang menjauhkan diri daripada dakwah kita ini kerana tidak merasakan ia perlu atau kerana memandang rendah atau memperkecilkannya atau tidak yakin dengan kejayaannya, hari yang mendatang akan membuktikan kesilapan mereka. Allah akan membawa kebenaran kita untuk mengalah dan menghancurkan kebatilan, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah segala kebatilan.
Wahai orang yang beriman, yang beramal, yang berjuang dan yang ikhlas, marilah bersama kami kerana inilah jalan yang sebenar dan jalan yang lurus. Janganlah kamu biarkan tenaga dan usaha kamu berselerakan. “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Al-An‘am: 153)