Kefahaman Ikhwanul Muslimin tentang Islam adalah kefahaman baru dan lama. Adapun barunya, kerana kefahaman itu asing bagi kebanyakan orang termasuk generasi muda Islam sendiri, kerana kefahaman itu memandang Islam sebagai agama dan negara, ibadah dan kepemimpinan, rohani dan amal, salat dan jihad, Al Quran dan pedang, sebagai yang diumumkan oleh pendiri gerakan itu pada prinsip pertama dari prinsip-prinsipnya yang dua puluh itu :
“Islam adalah peraturan yang lengkap, mencakup seluruh kenyataan hidup. Ia adalah negara dan tanah air atau pemerintah dan bangsa, jihad dan dakwah atau tentera dan pemikiran, bijak pandai dan undang-undang atau ilmu dan peradilan, akhlak dan kekuatan atau kasih sayang dan keadilan, kebendaan dan kekayaan atau usaha dan harta, begitu pula ia adalah akidah yang Murni dan ibadat yang benar.”
Pengertian Barat Terhadap Agama
Dengan menganggap agama adalah hubungan manusia dengan Tuhannya, bahawa tempatnya di mesjid dan surau dan tidak ada hubungannya dengan negara dan masyarakat. Kefahaman ini telah mempengaruhi banyak orang, sehingga di antara kecaman terhadap Ikhwanul Muslimin adalah ia mencampur adukkan antara agama dan politik.
Pemahaman Islam seperti ini adalah baru bagi kebanyakan orang, sehingga Hasan Al-Banna menamakannya “Islam Ikhwanul Muslimin”. Tetapi sebenarnya itu adalah pemahaman lama yang dikemukakan oleh Islam sendiri, kerana demikianlah pemahaman sahabat dan tabi’in terhadap agamanya, iaitu Islam menurut Al Quran dan As Sunnah.
Kekeliruan kaum muslimin memahami Islam
Pertama : Sisa-sisa tinggalan zaman kemunduran dan apa yang masuk ke dalam Islam pada masa itu berupa percampuradukan, bid’ah dan pengertian yang salah disebabkan penyelewengan dari mereka yang ekstrim, usaha dari mereka yang sengaja membuat kebatilan dan penafsiran orang-orang bodoh. Keadaan ini membawa kepada pencemaran keindahan Islam, menghancurkan keutuhannya dan merosak keseimbangan antara hukum-hukum dan ajaran-ajarannya. Lalu didahulukan apa yang seharusnya ditangguhkan dan ditangguhkan apa yang seharusnya didahulukan, di anggap penting apa yang sebenarnya remeh dan diremehkan apa yang sebenarnya penting. Dalam suasana seperti ini taklid dan fanatik mazhab berkembang dengan subur.
Kedua : Pengaruh-pengaruh pertarungan pemikiran atau penjajahan kebudayaan yang menimpa negeri-negeri Islam pada masa penjajahan asing, yang memasukkan pengertian-pengertian baru dan pemikiran-pemikiran asing dalam kehidupan kaum muslimin. Semua ini dimajukan dan diperkuat melalui lembaga-lembaga pendidikan dan pengajaran dan badan-badan ilmiah dan pengarahan.
Usaha penjajahan yang berbahaya
Bahkan paling berbahaya ialah mendidik sebahagian besar generasi muda Islam yang dinama “kaum terpelajar.” Pihak penjajah mengawasi pembentukan mereka, memberikan kepada mereka peradabannya, falsafah hidupnya dan cara pemikirannya. Akal dan hati mereka diisi dengan rasa kagum akan peradabannya, rasa hormat kepada hukum-hukumnya dan rasa senang untuk menirunya. Kepada mereka tidaklah diperkenalkan agama, peradaban dan warisan kebudayaan mereka sendiri kecuali sedikit sekali. Itupun dengan cara yang tidak intensif, mengenai hal-hal yang kurang bernilai, saling bertentangan lagi kelihatan buruk gambarannya.
Sebab itu tidaklah aneh kalau kita jumpai kaum muslimin hidup sebagai orang asing di negerinya sendiri. Rupa mereka adalah rupa orang muslim, sedang akal mereka adalah akal Eropah atau Amerika. Adalah kewajiban pendidikan Ikhwanul Muslimin untuk menghadapi kesankesan dari kebodohan lama dan pembodohan baru: dan bekerja keras untuk meletakkan sistem yang sempurna untuk mencerdaskan “seorang muslim” berlandaskan pada sumber-sumber Islam yang murni, sebelum dikotori oleh penambahan atau pengurangan dengan menjauhi istilah-istilah mutakallimin, takalluf para sufi dan debat para fuqaha’.